"Mak!", jerit Fakhrul hampir melaung.
Dari kejauhan lagi Datin Rosmah melihat anaknya Fakhrul berlari-lari anak membawa beg sekolahnya. Jam menunjukkan pukul 2 petang. Memang patutnya anaknya itu sudah balik dari sekolah.
"Kenapa ni Fakhrul? Tak pernah pulak kau balik sendiri, selalunya ayah kau yang kene ambil"
"Ala..ayah lambat sangat. Tadi cikgu pesan suruh mak atau ayah tandatangan buku ni", ujar Fakhrul sambil menunjukkan buku rekod peperiksaan miliknya kepada ibunya.
Ramai mengakui Fakhrul merupakan anak yang pintar. Sejak berada di Darjah Satu lagi Fakhrul sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Sehingga kini sudah berinjak ke Darjah Enam, rekod tersebut masih lagi dipegangnya. Maka Fakhrul sering menjadi bualan jiran-jiran di kawasan perumahannya, menasihati anak masing-masing agar mencontohi sikapnya yang kuat menelaah pelajaran itu.
"Alhamdulillah, camni la anak Mak"
Datin Rosmah memuji anaknya sambil mengusap-ngusap rambut satu-satunya anak hasil perkahwinan dengan Dato' Johar.
Dalam diam tercalit rasa bangga yang menebal dalam dirinya kerana berjaya membesarkan anak sebijak Fakhrul.
"Kali ini Fakhrul nak hadiah apa? Playstation? atau laptop?", tawar Datin Rosmah sebagai habuan kepada Fakhrul atas kejayaannya. Baginya wang bukanlah satu masalah. Selaku isteri kepada Pengurus Besar Temasik Holdings, beliau sentiasa berbangga atas kejayaan suaminya dalam menguruskan syarikat tersohor itu.
"Errr..tak nak lah Mak, Fakhrul cuma nak 50 biji bola pin pong je", sengih Fakhrul.
Kemahuan anaknya segera dipatuhi. Malah beliau sudah dapat menjangkakan hasrat anaknya itu. Ini bukanlah kali pertama Fakhrul meminta perkara yang pelik seperti itu. Sejak dari Darjah Satu lagi Fakhrul telah dihadiahi sebiji bola pin pong atas permintaannya. Kemudian meningkat kepada 10 biji ketika Darjah Dua dan bilangannya sentiasa meningkat saban tahun. Perkara tersebut sangatlah dihairani Datin Rosmah dan Dato' Jahor walhal Fakhrul bukanlah gemar bermain pin pong malah tidak pernah sekalipun bermain permainan itu. Setiap kali dihadiahkan bola pin pong, Fakhrul hanya menyimpannya di dalam sebuah bakul di bawah katilnya.
..........
5 tahun sudah berlalu. Fakhrul semakin meningkat dewasa. Kebanyakan remaja pada usia seperti Fakhrul pasti suka menghabiskan masa bersama rakan-rakan namun tidak pada Fakhrul. Habis sahaja peperiksaan SPM Fakhrul lebih gemar mengabdikan diri di rumah tanpa melakukan apa-apa, sekadar menghabiskan masa dengan melayari internet dan menonton televisyen.
Hari ini keputusan SPM akan dikeluarkan. Dato' Johar dan Datin Rosmah sedang bersiap-siap untuk menghantar anaknya ke MRSM tempat Fakhrul belajar. Tujuannya cuma satu, untuk mengambil slip keputusan peperiksaan terbesar yang akan menentukan masa depan anaknya itu.
Setibanya di sana, Fakhrul sekadar menegur dua tiga orang rakannya yang dirasakan paling rapat. Yang lain seolah-olah tidak dikenalinya walhal menjadi rakan seperguruan sejak Tingkatan Satu lagi. Apa yang penting baginya adalah mengambil slip keputusan dan menyerahkan kepada kedua ibu bapanya.
Sejak di sekolah menengah, Fakhrul memang tidak mempunyai ramai kawan. Sikapnya yang suka menyendiri malah kerap bercakap-cakap sendirian membuatkan pelajar lain takut untuk menegurnya. Apatah lagi apabila duduk di asrama, pelbagai kejadian aneh kerap berlaku.
Fakhrul dikenali segenap pelajar di sekolahnya sebagai pelajar yang pendiam dan psiko. Dahulu dia pernah ditegur warden kerana kerap merayap di sekitar sekolah pada waktu tengah malam. Malah yang lebih merisaukan masa malamnya dihabiskan dengan menyendiri di atas bumbung asrama.
Kejadian-kejadian aneh yang menimpa Fakhrul tidak pernah diketahui ibu bapanya. Malah guru-guru berat mulut untuk menceritakan hal yang sebenarnya. Pernah ketika berada di Tingkatan 4 Fakhrul telah cuba untuk membunuh diri namun sempat diselamatkan para warden bertugas. Dia dipercayai histeria dan terpaksa diubatkan dengan bantuan ustaz-ustaz.
Perkara tersebut masih segar diingatan seluruh warga sekolah sehingga ke hari ini. Para guru mengharapkan inilah hari terakhir Fakhrul menjejakkan kaki ke sekolah ini seolah-olah kehadirannya tidak dijemput.
Sebaik sahaja Fakhrul mengambil slip peperiksaan tersebut, dia terus memberikannya kepada ibu bapanya tanpa melihat dahulu apa yang tertulis di sebalik selembar kertas itu.
"Baiklah Fakhrul, kali ini hadiah apa yang kamu nak? Ayah harap bukan bola pin pong lagi", tawar Dato' Johar sebaik melihat slip keputusan anaknya itu, sesuatu yang telah dijangka dari awal.
"Emm..ala murah je ayah, Fakhrul cuma nak 500 bola pin pong je, boleh kan?"
"Fakhrul nak buat apa bola tu banyak-banyak? Yang dulu berlambak, tak diguna pun", kali ini Datin Rosmah yang mengambil alih perbualan.
"Ada la mak, ayah...please.."
..........
Sebentar lagi flight Fakhrul akan dibuka untuk penumpang masuk. Datin Rosmahlah orang yang paling sedih untuk melepaskan anaknya bagi meneruskan pengajian di luar negara. Stanford Universiti. Bukan calang-calang universiti. Namun demi cita-cita anaknya direlakan jua walau hati menderita.
"Ayah, bola-bola pin pong Fakhrul ada bawak kan tadi?", soal Fakhrul kepada ayahnya.
"Ada. Tertinggal kat dalam kereta. Fakhrul biar betul nak bawa sama semua tu. Banyak tu, satu guni. Berat.", leter ayahnya tidak bersetuju dengan tindakan anaknya untuk membawa sama hasil Fakhrul mengumpul bola pin pong selama lebih 12 tahun sepanjang hidupnya.
"Kejap, Fakhrul nak pergi ambil kejap."
"Fakhrul, kamu nak buat apa dengan bola pin pong banyak-banyak tu? Berat kamu nak bawak tu", ujar si emak.
"Ala ada la, mak jangan risau eh"
"Cuba kamu beri tahu mak dengan ayah ni, apa sebenarnya tujuan kamu kumpul banyak-banyak bola tu. Kami dah penat bertanya tapi kamu tak nak jawab. Kalau kamu tak nak jelaskan ayah tak bagi kamu ambil bola tu", ujar Dato' Johar dengan suara hampir meninggi.
"Ntah kamu ni, baik kamu bagitau cepat", si emak turut menyokong kenyataan suaminya itu.
"Ok ok, Fakhrul akan bagi tau, tapi lepas Fakhrul ambil bola-bola tu semua kat kereta ye. Fakhrul janji", balas Fakhrul.
Janji Fakhrul sedikit sebanyak melegakan kegusaran Dato' Johar dan Datin Rosmah malah tidak sabar-sabar untuk mengetahui misteri di sebalik sikap anaknya yang suka mengumpul bola pin pong sejak kecil lagi.
Kedua ibu bapa Fakhrul sekadar mampu memerhatikan Fakhrul dari kejauhan berjalan mundar mandir menghampiri kereta.
..........
"Fakhrul!!", jerit Dato' Johar dan Datin Rosmah hampir serentak.
"Bam!"
----------
Sudah ditakdirkan Fakhrul pergi meninggalkan kedua ibu bapanya buat selama-lamanya. Kejadian Fakhrul dilanggar kereta ketika melintas untuk mengambil seguni bola pin pongnya itu menjadi sesuatu yang amat dikesalkan kedua ibu bapanya. Kesemua tragedi ini berlaku hanya kerana bola pin pong. Namun mereka pasrah kerana ia telah ditakdirkan tuhan untuk Fakhrul pergi lebih awal.
Walau bagaimanapun, bola ping pong itu masih menjadi misteri. Tiada siapa yang mengetahui malah mampu meneka apa rahsia di sebalik bola ping pong yang menjadi sebahagian hidup Arwah Fakhrul. Anda pula bagaimana?
Inilah cerita misteri bola ping pong.
..........
Penat membaca? Guwa lagi penat dengar cerita ni dari cikgu guwa masa sekolah dulu. Tau endingnya camtu rasa nak hentak-hentak kaki dan baling kerusi ke arah cikgu whiteboard je. Haha :P
1 Ayat Ayat Power Kau Orang Semua:
haha . penat baca sampai habis . ciss !
Post a Comment