08 February 2013

Entry Serius: Legasi Nasyid

Bila melangkah ke tahun baru ni aku berazam menulis satu entry untuk satu tahun. Mujur Neelofa bijak memujuk, maka aku turutkan jua kehendaknya untuk disiapkan satu lagi entry bagi tahun ini. Atas dasar mahu menulis dengan fokus, maka aku ketepikan segala kerja kerja rutin penting seperti online Facebook dan menonton Youtube bagi memberi laluan kepada blog ini untuk beraksi. Lihat, betapa besarnya pengorbanan aku kali ini.

Sebelum ini aku banyak mengarut dalam menulis. Cerita "Pengaruh Gay Dalam Kalangan Generasi Harapan Bangsa" yang aku tulis sebelum ini dilihat tidak mampu menandingi karya Usman Awang. Maka dengan ini aku ingin mengambil insiatif untuk menulis dengan lebih serius.

Kali ini bapak punya serius. Pasal aku ditugaskan tulis satu artikel untuk dihantar dekat ICR UM. Jadi aku tak boleh menulis secara picisan seperti selalu selalu.

Tajuk artikel ini ialah "Mahasiswa UM Dominasi Festival Nasyid Kebangsaan Ke-22"

Hah, garang tak?

......................................................

Nasyid merupakan satu bentuk nyanyian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi, memuji ALLAH, dan yang seumpamanya. Pada awalnya nasyid membawa alunan bercorak padang pasir, tetapi kini kumpulan nasyid semasa telah membawa pelbagai rentak bercorak baru untuk para pendengar. Pembaharuan ini menjadikan lagu-lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih daya saing dalam bidang seni.

Perkembangan nasyid diwarnai dengan penganjuran pelbagai pertandingan nasyid yang melibatkan pelbagai institusi dan peringkat. IPTA dan IPTS di Malaysia dilihat begitu cenderung menganjurkan pertandingan nasyid, sehingga tertubuhnya pasukan nasyid CG yang kini bergiat aktif membawa nama Universiti Malaya dalam pertandingan-pertandingan nasyid yang dianjurkan di peringkat antara universiti. CG adalah sebuah kumpulan nasyid yang pada awalnya ditubuhkan pada tahun 2003 di Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah yang merujuk kepada singkatan perkataan sidji, berasal daripada bahasa rumpun Jawa yang membawa maksud ‘satu’. Tahun demi tahun, CG semakin menapak lebih jauh apabila menyertai pertandingan luar yang dianjurkan Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan JAKIM yang disertai penasyid belia daripada seluruh pelusuk tanah air.

Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) anjuran JAKIM merupakan pentas yang mengumpulkan juara Festival Nasyid bagi setiap negeri seluruh Malaysia yang mengambil bahagian. Festival ini merupakan pertandingan yang begitu dinantikan setiap tahun memandangkan ia merupakan peringkat tertinggi dalam pertandingan nasyid. Tahun 2012 merupakan tahun gilang gemilang bagi pasukan nasyid Universiti Malaya apabila empat kumpulan yang disertai 24 pelajar berjaya melangkah ke pentas FNK kali ke-22 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

FNK yang begitu sinonim dengan penganjuran terbaik yang melibatkan juri-juri profesional ini disertai 13 buah negeri. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori tradisi dan moden. Setiap kumpulan perlu berentap di peringkat saringan sebelum lima kumpulan terbaik bagi setiap kategori akan dipilih untuk beraksi di pentas final.

Hasil daripada sesi latihan yang berfokus dan konsisten, tahun 2012 pasti menjanjikan kenangan yang begitu manis buat warga Universiti Malaya apabila tiga kumpulan dibawah naungan CG, iaitu Kumpulan Zinnirah yang mewakili Selangor dan Kumpulan Ukhuwah serta Husna yang mewakili Perak berjaya melangkah ke final FNK untuk pertama kali. Lebih membanggakan apabila Kumpulan Zinnirah berjaya merangkul Juara kategori tradisi, manakala Kumpulan Husna dan Ukhuwah berjaya mendapat tempat ketiga masing-masing bagi kategori tradisi dan moden. Pencapaian ini telah meletakkan nama Universiti Malaya di antara yang teratas dalam pentas nasyid di peringkat kebangsaan.

Apa yang lebih menarik, CG tampil lebih yakin dengan karya lagu-lagu baru hasil ciptaan ahli keluarga CG sendiri. Lagu 'Muhasabah' hasil ciptaan Saudara Andy Mirza yang juga merupakan pelajar Universiti Malaya berjaya membawa Kumpulan Zinnirah merangkul Juara FNK edisi kali ini. Bakat pelajar-pelajar Universiti Malaya seperti ini amat diperlukan bagi memastikan CG tampak lebih segar untuk berentap di pentas peringkat yang lebih tinggi, seperti menjuarai FNK yang merupakan impian setiap daripada ahli kumpulan ini yang kini sudah menjadi kenyataan. Selain itu, lagu 'Naratif Cinta' yang dinyanyikan oleh Kumpulan Ukhuwah berjaya merangkul Lagu Terbaik FNK kali ini.

Bagi meneruskan legasi CG sejak ia ditubuhkan, CG tampil dengan pelbagai variasi dalam gaya persembahan dan saban tahun mengecap pelbagai pencapaian dalam pertandingan-pertandingan nasyid yang dianjurkan di seluruh Malaysia. Sebagai mahasiswa Universiti Malaya yang sentiasa ke hadapan, CG mengorak langkah menyertai pertandingan luar di peringkat negeri sebelum melayakkan diri di pentas FNK. Antara pencapaian CG sebelum ini adalah:
  1. Johan kategori moden dan Naib Johan kategori tradisi Festival Nasyid Selangor 2010
  2. Johan kategori tradisi Festival Nasyid Johor 2011
  3. Johan kategori tradisi Festival Nasyid Selangor 2012
  4. Johan kategori moden dan tradisi Festival Nasyid Perak 2012
Sesuai dengan statusnya sebagai kumpulan nasyid yang bernaung di bawah Nasyid IPT Malaysia, antara pencapaian CG dalam pertandingan-pertandingan nasyid antara IPT seluruh Malaysia adalah:
  1. Juara Festival Nasyid Terbuka (FINAS) 2009, 2010, 2011 & 2012
  2. Juara Nasyid Ekspo Perubatan Malaysia (PERSIS) 2006 & 2009
  3. Juara Nasyid Terbuka IPT Kebangsaaan UKM 2008 & 2009
  4. Naib Johan Fiesta Nasyid Amal Ibnu Sina (FINALIS) 2011
  5. Juara Nasyid Convofest UPNM 2011 dan Naib Juara 2010 & 2011
  6. Naib Juara Nasyid Permata Utara Piala Rektor UiTM Perlis 2011
  7. Kumpulan Harapan dan Emas Lirik Terbaik Festival Nasyid MAKUM 2011
Kumpulan Zinnirah - Juara Tradisi

Kumpulan Husna - Ke-3 Tradisi


Kumpulan Ukhuwah - Ke-3 Moden
Dominasi pelajar UM di pentas FNK


Perkembangan terkini CG boleh dilihat di Facebook dengan mencari pautan ‘CG (Fannan & Farhana)’ atau terus ke www.facebook.com/CG12th.

Justeru, CG sentiasa bersedia untuk menyertai pelbagai pertandingan mendatang, bukan sahaja untuk mengecap kemenangan dan mengharumkan nama Universiti Malaya, malah  yang lebih berharga dapat menyampaikan dakwah Islamiyyah melalui seni itu sendiri, InsyaAllah.


1 Ayat Ayat Power Kau Orang Semua:

insanhina said...

CG sentiasa mantop...teruskan perjuangan dakwah :)